2025 – Pusat Ulul Albab https://ululalbab.upsi.edu.my Always The Best Mon, 13 Oct 2025 04:33:36 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=6.9 https://ululalbab.upsi.edu.my/wp-content/uploads/2025/08/cropped-apple-touch-icon-32x32.png 2025 – Pusat Ulul Albab https://ululalbab.upsi.edu.my 32 32 ASPIRE LEADERS: PERKASA KEPIMPINAN MUDA DENGAN KREATIVITI DAN INSPIRASI https://ululalbab.upsi.edu.my/aspire-leaders-perkasa-kepimpinan-muda-dengan-kreativiti-dan-inspirasi/ Mon, 13 Oct 2025 04:33:34 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6266 Read more]]>

Oleh: Muhammad Aidil Putra Affendi

TANJONG MALIM, 6 September 2025 – Program Aspire Leaders: Lead With Purpose, Inspire With Action anjuran Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Kolej Vokasional Slim River (KVSR), dengan kerjasama empat badan kepimpinan pelajar KVSR iaitu Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pusat Sumber Sekolah (PSS), Majlis Kolej Kediaman KV(MKK) dan Majlis Perwakilan Pelajar KV(MPP) telah berlangsung selama dua hari dengan penuh bersemangat di Dewan Kolej Za’ba, UPSI.

Program ini bertujuan membentuk pelajar berdisiplin, berwawasan serta berkarisma, selain melahirkan kepimpinan muda yang kreatif dan berdaya cipta. Selaras dengan tagline “Lead With Purpose, Inspire With Action”, penganjuran menekankan nilai kepimpinan berteraskan keberanian, integriti, inovasi dan impak positif kepada organisasi serta masyarakat.

Hari pertama dimulakan dengan pendaftaran peserta sebelum disusuli aktiviti Ice Breaking yang mencetuskan suasana ceria melalui permainan Find Me dan Squid Game versi santai. Peserta kemudiannya mengikuti slot modul Innovate Beyond yang mengetengahkan kepentingan inovasi dalam kepimpinan. Pada sebelah malam, slot Team Building dijalankan dengan aktiviti mencabar seperti Sketch Blind dan Bongkok Tiga, menguji kerjasama, komunikasi dan kebijaksanaan peserta.

Hari kedua bermula seawal jam 5.00 pagi dengan solat Subuh berjemaah, tazkirah ringkas serta riadah santai. Tepat jam 8.30 pagi, peserta mengikuti slot modul F.A.2.A, yang menekankan ciri pemimpin unggul iaitu fokus, adab dan keberanian. Seterusnya, slot bersama Dr. Tajul Rosli bertajuk “Pemimpin Muda, Jiwa Besar” menggunakan pendekatan analisis SWOT untuk membuka minda peserta mengenali kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam organisasi serta diri sendiri.

Program mencapai kemuncak dengan Majlis Penutup pada jam 4.30 petang yang dihadiri Timbalan Pengarah Akademik KVSR, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar KVSR, Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Saleh, serta Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab.

Dalam ucapan, Dr. Sakinah menyeru agar semua peserta menjadikan tagline program sebagai panduan memimpin dengan tujuan yang jelas dan memberi inspirasi melalui tindakan.

Majlis turut diserikan dengan ucapan wakil pelajar KVSR, Yang Dipertua MPP, yang menegaskan kepimpinan adalah medan khidmat untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan sekadar memegang jawatan.

Acara diteruskan dengan tayangan video montaj, penyampaian hadiah serta penghargaan kepada peserta dan fasilitator, sebelum sesi bergambar beramai-ramai menutup tirai program.

Secara keseluruhan, Aspire Leaders 2025 berjaya memberi impak besar kepada mahasiswa UPSI dan pelajar KVSR. Sinergi empat badan kepimpinan pelajar, PRS, PSS, MKK dan MPP yang membuktikan bahawa kolaborasi serta semangat kebersamaan mampu melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, berinovasi dan berjiwa besar.

]]>
UPSI Perkasa Konsep Ulul Albab dan Sains Tauhidik Menerusi Ceramah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yusof Othman https://ululalbab.upsi.edu.my/upsi-perkasa-konsep-ulul-albab-dan-sains-tauhidik-menerusi-ceramah-prof-emeritus-dato-dr-yusof-othman/ Mon, 13 Oct 2025 04:23:50 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6258 Read more]]>

Oleh: Nor Hayati Aziz

Tanjong Malim, 13 Ogos 2025 – Pendekatan integratif antara ilmu sains dan nilai ketuhanan menjadi teras utama dalam ceramah ilmiah bertajuk “Konsep Ulul Albab dan Sains Tauhidik” yang disampaikan oleh tokoh ilmuan tersohor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman.

Ceramah yang berlangsung di Scholar Suite, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 13 Ogos 2025 menghimpunkan 30 peserta, terdiri daripada jurulatih Pusat Ulul Albab (PUA) dan pensyarah UPSI, dengan matlamat memperkukuh kefahaman tentang integrasi ilmu aqli (rasional) dan naqli (wahyu) dalam sistem pendidikan kontemporari.

Dalam ceramahnya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof menjelaskan bahawa konsep Ulul Albab, sebagaimana digariskan dalam al-Quran, merujuk kepada golongan berilmu yang bukan sahaja cemerlang dalam pemikiran rasional, tetapi turut memiliki kedalaman spiritual dan kepekaan moral yang tinggi. Golongan ini harus sentiasa merenung ciptaan Tuhan termasuk melalui pendekatan saintifik sebagai jalan untuk mengenal dan mentauhidkan Allah SWT.

Beliau turut menegaskan bahawa Sains Tauhidik merupakan pendekatan epistemologi yang menolak pemisahan antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Sebaliknya, setiap cabang ilmu termasuk sains moden perlu dilihat sebagai wahana untuk mencapai pengesaan Allah, membentuk akhlak mulia, serta memakmurkan bumi dalam kerangka tanggungjawab khalifah.

“Ilmu yang terpisah daripada nilai ketuhanan akan kehilangan arah dan tujuan. Pendekatan Tauhidik memberi makna kepada sains sebagai alat untuk memakmurkan bumi dalam kerangka tanggungjawab khalifah,” tegas beliau.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, berkata penganjuran program ini merupakan usaha berterusan UPSI untuk memperkasakan pemahaman konsep Ulul Albab dalam kalangan tenaga pengajar.

“Kami percaya bahawa pembinaan generasi Ulul Albab perlu bermula dengan pencerahan kepada pendidik itu sendiri. Kefahaman mendalam tentang konsep ini akan memberi kesan langsung terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna dan bersifat rabbani,” ujarnya

Tambah beliau, ceramah ini diharap dapat merangsang diskusi intelektual dalam kalangan ahli akademik dan memperkukuh jati diri pendidik Muslim, khususnya dalam menghadapi cabaran era globalisasi ilmu.

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, pula menekankan bahawa falsafah Ulul Albab memerlukan penghayatan mendalam oleh pendidik agar dapat membentuk generasi cendekiawan berjiwa rabbani. “Kami akan terus memperluas penganjuran program seumpama ini melalui kolaborasi strategik pelbagai pihak,” ujarnya.

Program ini juga menjadi medan perbincangan kritis mengenai pengaplikasian konsep Ulul Albab dalam kurikulum dan pedagogi pendidikan Islam serta bidang STEM, sejajar dengan aspirasi negara membentuk modal insan holistik, seimbang dan harmonis sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

]]>
BENGKEL SEMAKAN SEMULA PENSIJILAN ULUL ALBAB PERKUKUH MODUL PENDIDIKAN HOLISTIK https://ululalbab.upsi.edu.my/bengkel-semakan-semula-pensijilan-ulul-albab-perkukuh-modul-pendidikan-holistik/ Mon, 13 Oct 2025 04:22:23 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6254 Read more]]>

Oleh: Nor Hayati Aziz

Kuala Kangsar, 10 Ogos 2025– Seramai 24 jurulatih Ulul Albab bersama empat pegawai Pusat Ulul Albab (PUA), UPSI telah berkumpul dalam Bengkel Semakan Semula Pensijilan Ulul Albab bertujuan memantapkan kandungan dan pelaksanaan modul pensijilan agar kekal relevan dengan keperluan semasa.

Bengkel yang dipimpin oleh barisan penceramah berpengalaman ini dimulakan dengan taklimat urusetia oleh Nor Hayati Aziz, diikuti taklimat perjalanan bengkel oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid dan sesi ice breaking oleh Dr. Zulkifli Mamat.

Pengarah PUA, Dr. Sakinah Salleh dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa semakan modul ini adalah proses penting bagi memastikan matlamat pendidikan Ulul Albab terus tercapai.

“Kita mahu memastikan pelajar Ulul Albab bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, tetapi juga memiliki kemahiran dan sahsiah unggul yang membolehkan mereka menjadi pemimpin masa hadapan. Modul ini adalah panduan utama, dan ia mesti sentiasa dikemas kini agar kekal relevan serta berkesan,” katanya.

Sesi perkongsian Gaya Penceramah oleh Dr. Che Ghani Che Kob
Sesi perbincangan dalam kumpulan
Peserta tekun mendengar perkongsian daripada penceramah

Antara fokus utama bengkel ialah pemurnian sinopsis modul dan penyataan hasil pembelajaran bagi setiap komponen QEI (Quranic, Ensiklopedik & Ijtihadik), penyelarasan PLO mengikut komponen Andalusia 2.0, serta pembangunan isi kandungan modul. Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid, Dr. Md Noor Saper dan Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob melalui perbincangan strategik yang produktif.

Jurulatih Ulul Albab turut mengikuti Sesi Gaya Penceramah oleh Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob bagi mengadaptasi kaedah penyampaian terkini yang kreatif dan berkesan. Bengkel diakhiri dengan sesi rumusan dan soal jawab yang memuktamadkan draf modul baharu. Dengan hasil kerja yang lebih teratur, PUA yakin modul ini akan menjadi panduan mantap untuk melahirkan graduan Ulul Albab yang cemerlang, seimbang dan berdaya saing.

]]>
UPSI PERKUKUH JATI DIRI ULUL ALBAB DAN WARISAN ISLAM NUSANTARA MELALUI MOBILITI KE SINGAPURA https://ululalbab.upsi.edu.my/upsi-perkukuh-jati-diri-ulul-albab-dan-warisan-islam-nusantara-melalui-mobiliti-ke-singapura/ Mon, 13 Oct 2025 04:18:29 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6250 Read more]]>

Oleh: Muhammad Aidil Putra & Nor Hayati Aziz

SINGAPURA, 30 Julai 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan bertunjangkan ilmu dan nilai spiritual apabila seramai 24 mahasiswa, Pengarah dan Pegawai dari Pusat Ulul Albab serta Pustakawan UPSI menyertai Program Mobiliti Tidak Berkredit (Outbound Mobility) Peringkat Ketiga ke Singapura bermula 28 hingga 31 Julai 2025.

Program selama empat hari ini dirangka sebagai inisiatif strategik untuk memperluas horizon intelektual pelajar melalui pendedahan kepada kepelbagaian pendekatan pendidikan Islam, kekayaan budaya Melayu-Islam Nusantara, dan pembentukan jati diri Ulul Albab yang seimbang antara wahyu dan rasional.

Kunjungan akademik dimulakan dengan kunjungan ke Perpustakaan Negara Singapura, sebuah pusat ilmu serantau yang menjadi gedung khazanah ilmiah dan digital. Para peserta berpeluang menyelami peranan perpustakaan moden dalam mendokong pembelajaran sepanjang hayat serta penyelidikan rentas disiplin.

Seterusnya, kunjugan ke Masjid Sultan, ikon warisan Islam di Singapura yang berakar sejak abad ke-19, membuka lembaran sejarah komuniti Melayu-Islam di negara tersebut. Di sini, mahasiswa menelusuri fungsi masjid sebagai institusi rohani, sosial dan intelektual dalam membina tamadun.

Wakil PERGAS memberi taklimat kepada pegawai pengiring dan peserta berkenaan akdemik di Singapura

Keterisian ilmiah diteruskan dengan diskusi bersama Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), melibatkan topik berimpak tinggi seperti Sains dalam Perspektif al-Quran, Keseimbangan Wahyu dan Akal dalam Pembentukan Tamadun, serta Fardu Ain dan Nilai Ihsan dalam Arus Moden. Sesi ini bukan sahaja memperkaya wacana pelajar, malah mencetuskan perbandingan bernas terhadap pendekatan pendidikan Islam di dua negara serumpun.

Guru dan pegawai PERGAS mendengar taklimat dari Dr. Sakinah berkenaan pedagogi Ulul Albab
Peserta memberi perkongsian aktiviti/ program yang dijalankan oleh Pusat Ulul Albab

Tiga orang ahli Kelab Sahabat Ulul Albab tampil berkongsi pengetahuan berharga berkaitan QEI (Quranic, Esiklopedik dan Ijtihadik) yang telah mereka pelajari, melalui slot Weekly with Kesua yang diadakan secara berkala setiap minggu. Perkongsian ini bukan sahaja memperkaya ilmu dalam kalangan rakan-rakan di UPSI, malah menyemarakkan semangat menyebarkan nilai Ulul Albab secara menyeluruh.

Selain aspek akademik, peserta turut berkujung ke destinasi-destinasi strategik seperti Gardens by the Bay, Sentosa Island, dan Masjid Al-Falah, yang dipilih bagi menyulam hubungan antara sains, seni dan spiritualiti dalam konteks pendidikan Islam kontemporari.

Menurut penasihat program, Nor Hayati Aziz setiap lokasi dalam program ini dirancang dengan maksud dan nilai tersendiri.“Kita tidak mahu pelajar hanya melancong, tetapi menelusuri makna di sebalik setiap tempat yang diziarahi. Nilai keilmuan, kebudayaan dan ketamadunan yang mereka hadam akan membentuk mahasiswa Ulul Albab yang berfikir kritis, berakhlak tinggi dan berjiwa da’i,” ujar beliau.

Manakala Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh menegaskan bahawa program ini merupakan salah satu usaha signifikan ke arah pengukuhan visi dan misi Ulul Albab.“Matlamat utama program ini adalah untuk membina pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi turut memiliki kesedaran global, kefahaman budaya, dan kekuatan nilai diri sebagai agen perubahan masyarakat. Kita mahu mereka mengenal dunia luar dengan kaca mata Ulul Albab – melihat, mentafsir, dan bertindak dengan hikmah,” kata beliau.

Program turut diselitkan dengan sesi refleksi kendiri, bagi membantu peserta menterjemah pengalaman kepada kesedaran intelektual dan rohani yang lebih mendalam. Malah, kunjungan ini turut membuka lembaran kolaborasi akademik jangka panjang antara UPSI dan institusi-institusi tersohor di Singapura seperti PERGAS dan Perpustakaan Negara.

Program Mobiliti Ulul Albab ke Singapura menjadi platform berimpak tinggi dalam membentuk mahasiswa berdaya saing global, berpaksikan nilai-nilai Ulul Albab yang menggabungkan ilmu, iman dan amal.

Dengan langkah berani merentas sempadan ini, UPSI terus komited melahirkan generasi pendidik dan pemimpin ummah yang holistik serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan tamadun sejagat.

]]>
BENGKEL PEMBANGUNAN PROGRAM ASASI ULUL ALBAB: MENJULANG INTEGRASI ILMU DAN AKHLAK https://ululalbab.upsi.edu.my/bengkel-pembangunan-program-asasi-ulul-albab-menjulang-integrasi-ilmu-dan-akhlak/ Mon, 13 Oct 2025 04:16:25 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6246 Read more]]>

Oleh: Amilia Abdul Halil

Tanjung Malim, 11 Julai 2025 – Dalam usaha UPSI melahirkan generasi pendidik ulul albab, satu Bengkel Pembangunan Program Asasi Ulul Albab telah dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Akademik (PPA) dengan melibatkan beberapa pusat tanggungjawab iaitu Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Institut Pendidikan Tahfiz Dan Turath Islami (I-Furqan) dan Pusat Ulul Albab (PUA).

PPA telah menjemput Pengarah dari Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa binti Syed Saadun Tarek Wafa untuk berkongsi input pembangunan kurikulum program asasi ulul albab.

Bengkel ini memberi ruang kepada para peserta berkongsi pandangan dan mencadangkan kurikulum program asasi yang akan dibangunkan di UPSI dengan mengambil kira perkongsian yang telah disampaikan oleh Pengarah PUSPA.

Tujuan utamanya adalah untuk merangka kurikulum Program Asasi Ulul Albab yang menyepadukan nilai-nilai keilmuan Islam dengan kecemerlangan akademik moden.

Antara pengisian penting bengkel ini termasuk perbincangan kerangka kurikulum dan modul hafazan yang sesuai bagi pelajar asasi berdasarkan acuan niche Pendidikan UPSI. Turut disentuh tentang kaedah promosi program dan penajaan pelajar apabila mereka telah mendaftar ke program asasi elak.

Pengarah PUSPA sedang menyampaikan proses pembangunan kurikulum Program Asasi Ulul Albab

Hasil bengkel ini akan digunakan sebagai asas kepada pembangunan kurikulum rasmi Program Asasi Ulul Albab yang dijangka akan dilaksanakan pada Julai 2026.

Para peserta juga telah mengenal pasti keperluan untuk menyediakan garis masa dan dokumentasi untuk mendapatkan kelulusan penawaran program oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program ini secara menyeluruh.

]]>
UPSI, Yayasan Ulul Albab Jalin Kerjasama Strategik Melalui MoU https://ululalbab.upsi.edu.my/upsi-yayasan-ulul-albab-jalin-kerjasama-strategik-melalui-mou/ Mon, 13 Oct 2025 04:14:29 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6242 Read more]]>

Oleh: Bazli Razak

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Ulul Albab (YUA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan serta pembangunan modal insan berasaskan nilai Islam.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama ini merupakan satu manifestasi cita-cita murni untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang seimbang dari segi intelek, rohani dan sahsiah.

“UPSI dan konsep Ulul Albab sudah lama sinonim, dan penubuhan Pusat Ulul Albab UPSI membuktikan komitmen universiti dalam mengangkat martabat pendidikan Islam yang menyeluruh.

Menurut beliau, pelbagai program berimpak tinggi telah dilaksanakan bersama YUA sebelum ini, antaranya International e-Conference of Ulul Albab (e-ICUA), Ikon Ulul Albab Malaysia, dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA ICE).

Turut dilaksanakan ialah pembangunan kurikulum dan modul Thalatha Tis’a, analisis keberkesanan program di peringkat awal kanak-kanak, serta kursus pedagogi bagi guru-guru yang terlibat.

“Usaha ini turut merangkumi pembangunan data pelajar Ulul Albab 2024–2025, pelancaran kurikulum dan modul khas, kursus pedagogi untuk guru-guru Thalatha Tis’a serta kajian impak pelaksanaan program tersebut di Taska KEMAS Gong Kepas.

Md Amin berkata, melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak akan memperluas skop kerjasama termasuk pembangunan modul latihan sekolah model Ulul Albab, pembinaan Standard Ulul Albab Malaysia, dan penubuhan Program Diploma Sains Ulul Albab.

“Kolaborasi ini juga merangkumi penghasilan penerbitan ilmiah, promosi Konsep Andalusia 2.0, serta pelaksanaan seminar, persidangan dan bengkel bersama,” katanya.

Barisan pengurusan tertinggi UPSI bergambar bersama barisan pengurusan Yayasan Ulul Albab dalam majlis MoU yang diadakan di Bilik Mesyuarat TRC Business Centre, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff (duduk,kanan) bersama Yang Mulia Engku Ahmad Kamel Yang Mulia Engku Taib (duduk, kiri) ketika menandatangani dokumen MoU dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat TRC Business Centre, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau, UPSI komited untuk memainkan peranan sebagai pemacu kecemerlangan pendidikan negara melalui pembentukan ekosistem pendidikan Islam yang unggul dan berdaya saing.

“Harapan kami agar kerjasama ini membawa kita lebih dekat kepada kegemilangan tamadun Islam yang pernah dicapai suatu ketika dahulu,” ujar beliau.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bilik Mesyuarat TRC Business Centre, Ampang, Selangor itu turut disaksikan oleh Pengerusi dan Pemegang Amanah YUA, Yang Mulia Engku Ahmad Kamel Yang Mulia Engku Taib; Setiausaha YUA, Abdul Aziz Mohamad; Pendaftar UPSI,  Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Ulul Albab dan pencetus Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Idris Jusoh berkata, MoU ini adalah langkah penting ke arah memperluas capaian pendidikan Islam yang progresif dan bersepadu.

“Kita mahu lahirkan generasi Ulul Albab yang bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga kukuh dari segi akidah, akhlak dan sahsiah diri. Gabungan ilmu naqli dan aqli ini adalah kunci kepada tamadun yang gemilang.

Menurut beliau, pelaksanaan program ini membuktikan bahawa kanak-kanak kecil mampu menghafaz al-Quran, menguasai asas bahasa Arab, serta didedahkan kepada nilai-nilai Islam secara semula jadi dalam persekitaran yang kondusif dan menyeronokkan.

Tambah beliau, UPSI adalah rakan strategik terbaik untuk merealisasikan visi Ulul Albab secara nasional dan antarabangsa.

“Kami yakin, dengan kepakaran yang dimiliki UPSI dalam bidang pendidikan serta kesungguhan yang ditunjukkan, kita mampu membina satu sistem pendidikan Islam yang boleh dijadikan rujukan dunia,” katanya.

]]>
PUA TERUS UNGGUL: SIRI KE-7 PROGRAM PENSIJILAN PROFESIONAL ULUL ALBAB LANJUTAN PERKASA MAHASISWA HOLISTIK https://ululalbab.upsi.edu.my/pua-terus-unggul-siri-ke-7-program-pensijilan-profesional-ulul-albab-lanjutan-perkasa-mahasiswa-holistik/ Mon, 13 Oct 2025 04:12:07 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6238 Read more]]>

Oleh: Nurul Adlina & Annisa Sajida

Tanjung Malim, 18 Mei 2025 – Pusat Ulul Albab (PUA), UPSI sekali lagi tampil menerajui pembangunan modal insan bersepadu menerusi Program Pensijilan Profesional Ulul Albab (Tahap Lanjutan) Siri ke-7, yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mei lalu.

Program lanjutan ini merupakan kesinambungan kepada tahap pertengahan yang memfokuskan kepada pengukuhan tiga elemen teras model Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Setiap slot dirangka secara sistematik bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi rohani, intelek, dan kepimpinan.

“Program ini bukan sekadar teori, malah membekalkan peserta dengan pemahaman mendalam dan pengalaman praktikal yang relevan dengan cabaran semasa,” ujar salah seorang fasilitator program.

Dalam topik sorotan Modul QEI: Sentuhan Ilmu & Nilai,Slot “Quranik 1: Kain Putih” membuka tirai dengan perkongsian oleh Zulkifli Mamat yang menekankan kepentingan akhlak mulia berlandaskan wahyu. Seterusnya, Dr. Samsuddin Abd Hamid dalam slot “Quranik 2: Pujangga Tertinggi” membawa peserta menyelami keindahan bahasa dan falsafah al-Quran sebagai teks agung.

Slot “Quranik 3: Khalifah Profesional” oleh Dr. Tajul Rosli Shuib mengangkat peranan insan sebagai khalifah melalui lima tonggak pendidikan Islam: Muallim, Mudarris, Muaddib, Murabbi, dan Mursyid – satu pendekatan holistik ke arah pembentukan pemimpin berintegriti.

Bagi slot Ensiklopedik: Kreativiti dan Kolaborasi di bawah bimbingan Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin, modul Cyclo Race dalam slot Ensiklopedik memberi peluang kepada peserta untuk membina dan menilai permainan berasaskan konsep pembelajaran berasaskan masalah (PBL). Peserta bukan sahaja diuji dari segi kreativiti, malah keupayaan refleksi dan kerja berpasukan turut diuji secara praktikal.

Slot Ijtihadik: Solusi Berasaskan Realiti dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob dan Siti Salwa Jamaldin memperkasakan pemikiran kritikal peserta dalam menyelesaikan isu mahasiswa melalui penciptaan produk inovatif. Peserta diberikan ruang membentang, berdebat dan menerima maklum balas, menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan dinamik.

Gabung Jalin Ilmu & Amaliyang melibatkan 20 peserta dari pelbagai fakulti dan ahli Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) ini berjaya membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi juga mampu mempraktikkan nilai dan kemahiran dalam kehidupan sebenar.

“Program ini membuka mata saya tentang bagaimana al-Quran boleh diterjemahkan dalam tindakan harian sebagai pelajar dan pemimpin,” ujar salah seorang peserta.

Melalui pelaksanaan program ini, PUA jelas menunjukkan komitmen dalam memupuk generasi Ulul Albab yang holistik, dinamik dan relevan dengan kehendak zaman.

]]>
Kursus Perundingan Pedagogi Ulul Albab Junior Latih Guru TABIKA KEMAS Ke Arah Pendidikan Awal Islamik Holistik https://ululalbab.upsi.edu.my/kursus-perundingan-pedagogi-ulul-albab-junior-latih-guru-tabika-kemas-ke-arah-pendidikan-awal-islamik-holistik/ Thu, 02 Oct 2025 02:15:40 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6219 Read more]]>

Oleh: Dr Tajul Rosli

Port Dickson, 9 Mei 2025 – Seramai 40 orang guru TABIKA KEMAS telah menyertai Kursus Perundingan Pedagogi Ulul Albab Junior yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa, 6 Mei hingga Jumaat, 9 Mei 2025 bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kursus intensif ini merupakan projek rintis yang ditaja oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pusat Ulul Albab (PUA).

Matlamat utama program ini ialah memperkenalkan kerangka pedagogi Ulul Albab Junior kepada para pendidik prasekolah sebagai usaha memperkukuh pendidikan awal berteraskan nilai Islam, akhlak dan pemikiran kritis.

Kursus ini dikendalikan oleh tujuh orang penceramah profesional dari UPSI dan PUA yang berpengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan Islam dan reka bentuk kurikulum.

Antara pengisian utama termasuklah slot pengenalan kepada Pedagogi Ulul Albab Junior, yang menekankan kepada prinsip QEI (Quranik, Ensiklopedik, Ijtihadik), diikuti dengan slot tahbib yang memberi fokus kepada membina kecintaan terhadap ilmu, guru dan Al-Quran dalam kalangan kanak-kanak secara berkesan dan menyentuh emosi.

Slot talaqqi pula memperkenalkan konsep pengajaran bersemuka dan bertalaqqi secara sistematik di peringkat prasekolah, manakala slot tadabbur mengajak guru mendalami maksud ayat-ayat Al-Quran dan mengaplikasikannya dalam pembelajaran bertema yang sesuai dengan perkembangan murid.

Peserta juga didedahkan kepada pendekatan pentaksiran alternatif yang tidak hanya menilai aspek kognitif, malah merangkumi aspek rohani, emosi dan sosial kanak-kanak secara menyeluruh.

Sepanjang program, suasana pembelajaran berjalan lancar dan penuh semangat kolaboratif. Aktiviti simulasi pengajaran, perbincangan kumpulan dan refleksi amalan mendidik telah membantu peserta memahami dengan lebih mendalam pendekatan yang diketengahkan.

Rata-rata peserta menyatakan kepuasan yang tinggi terhadap kandungan, penyampaian penceramah serta kesesuaian modul dengan konteks sebenar pendidikan prasekolah KEMAS.

Kursus ini telah membuka lembaran baharu dalam usaha mentransformasi pendidikan awal negara dengan pendekatan berteraskan nilai dan wahyu.

KEMAS dijangka akan menilai impak awal program rintis ini untuk perluasan pelaksanaan pada masa hadapan. UPSI dan Pusat Ulul Albab pula menyatakan komitmen untuk terus menyokong pembangunan modul dan latihan berterusan agar aspirasi melahirkan generasi Ulul Albab sejak usia awal dapat direalisasikan secara sistematik dan mampan.

]]>
ULUL ALBAB GOT TALENT GEGARKAN MASJID AL-MURSYIDIN, UPSI SEMPENA MASJID AL-MURSYIDIN OPEN DAY 2025 https://ululalbab.upsi.edu.my/ulul-albab-got-talent-gegarkan-masjid-al-mursyidin-upsi-sempena-masjid-al-mursyidin-open-day-2025/ Thu, 02 Oct 2025 02:12:34 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6209 Read more]]>

Oleh: Nor Aimi Nabila Shamsulazman dan Musa Jaafar

Tanjong Malim, 26 April – Buat julung kalinya, Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Pusat Islam UPSI, berjaya menganjurkan program Ulul Albab Got Talent yang berlangsung dengan penuh kemeriahan di Masjid Al-Mursyidin, UPSI sempena program Masjid Al-Mursyidin Open Day 2025.

Program yang bertujuan untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti dalam kalangan pelajar ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 15 peserta, yang tampil dengan pelbagai persembahan menarik, mencerminkan potensi besar generasi muda dari pelbagai peringkat umur.

Golongan sasaran bagi program ini terdiri daripada pelajar di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, dan sekolah menengah yang menetap di kawasan sekitar daerah Muallim.

Setiap kategori peserta diberikan tema khusus untuk menguji kreativiti mereka. Peserta prasekolah tampil dengan tema kebersihan dan keselamatan, peserta sekolah rendah mengangkat tema adab dan akhlak, manakala peserta sekolah menengah menonjolkan tema sains dan teknologi yang mencerminkan kepedulian mereka terhadap kemajuan ilmu dalam konteks Islam.

Penganjuran program yang berprestij ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam membina keyakinan diri, memperkukuh sahsiah, serta memupuk minat terhadap seni Islamik dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.

Ini juga sejajar dengan aspirasi UPSI untuk terus menjadi peneraju pendidikan yang holistik, berlandaskan prinsip-prinsip nilai dan akhlak Islam, serta memberikan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat mereka secara menyeluruh.

]]>
Majlis Al-Mursyidin Open Day 2025 https://ululalbab.upsi.edu.my/majlis-al-mursyidin-open-day-2025/ Thu, 02 Oct 2025 02:09:28 +0000 https://ululalbab.upsi.edu.my/?p=6197 Read more]]>

Oleh: Puan Noorheli Ayob

Tanjong Malim, 26 April 2025 – Masjid Al-Mursyidin Open Day 2025 telah berlangsung dengan penuh jayanya pada 25 dan 26 April 2025.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehkerjaan Siswazah, Pusat Ulul Albab, Majlis Perwakilan Pelajar serta Kelab Al-Mursyidin.

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang dua hari program, antaranya rakaman Tazkirah Malam Jumaat bersama Astro Oasis, Qiamullail Challenge, Subuh Macam Jumaat, An-Nisa’ Day, Ulul Albab Got Talent, Fun Shoot memanah, kaunter Tabung Haji serta Karnival Keusahawanan.

Program ini turut mendapat suntikan istimewa dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat dan penceramah tersohor.

Antaranya, Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman yang hadir semasa rakaman Tazkirah Malam Jumaat episod 10 bertajuk “Masjid Sebelah Rumah” bersama panel Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa dan Ustaz Elyas Ismail, dihoskan oleh Ustaz Amin Idris.

Pada sesi malam pula, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, turut serta dalam rakaman episod 13 bertajuk “Hi Chat GPT!” yang menampilkan Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa dan PU Amin sebagai panel.

Turut memeriahkan program ialah PU Yeop selaku penceramah Subuh Macam Jumaat, Ustazah Nurul Hidayah Kamaruddin (Naib Johan Ustazah Pilihan), serta Ustazah Siti Aishah Abdul Rahmat (DMY Aishah) yang menyampaikan pengisian dalam An-Nisa’ Day.

Majlis Al-Mursyidin Open Day 2025 telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga UPSI dan masyarakat setempat. Program ini bukan sahaja menjadi medium dakwah yang berkesan, malah mengukuhkan

]]>