
Oleh: Masturiana Mohd Basri
Sungai Buloh, 6 Mac 2025 – Seratus pelajar tahfiz dari dua institusi pengajian Islam di sini menerima sumbangan sempena Ramadan menerusi program Santunan Kasih Ramadan 2025, anjuran Pusat Ulul Albab, UPSI dengan kerjasama Yayasan Peramah. Program yang berlangsung di Maahad Tahfiz Darul Ulum Az Zahra dan Pusat Tahfiz Az Zahrah Lilbanat ini bertujuan meringankan beban para pelajar tahfiz dalam menyambut bulan mulia serta menjadi salah satu inisiatif di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, yang menyampaikan bantuan berbentuk wang tunai kepada para penerima. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program kebajikan seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Ulul Albab dalam menyokong kebajikan pelajar tahfiz.

“Kami sentiasa komited untuk membantu pelajar-pelajar tahfiz yang memerlukan, supaya mereka dapat memberi tumpuan penuh kepada pengajian dan hafazan al-Quran tanpa dibebani dengan masalah kewangan. Santunan Kasih Ramadan ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga tanda sokongan moral kepada mereka untuk terus berjuang sebagai penjaga kalam suci Allah,” katanya.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Peramah, yang tampil sebagai penyumbang utama dalam menjayakan inisiatif kebajikan tersebut. Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PINTA), Ustaz Mohd Edrus Ab Rahman, dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

“Kami amat berterima kasih kepada Pusat Ulul Albab dan Yayasan Peramah atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kebajikan pelajar tahfiz. Bantuan ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha dalam mendalami ilmu al-Quran,” ujarnya.
Selain penyampaian sumbangan, program ini turut diisi dengan sesi tazkirah Ramadan dan doa selamat, memberikan para pelajar pengisian rohani sebagai persediaan menyambut bulan suci. Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama para penerima sumbangan sebagai simbolik kejayaan penganjuran.
Pusat Ulul Albab berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak pihak, agar lebih ramai pelajar tahfiz yang kurang berkemampuan dapat dibantu. Dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat, usaha murni seperti ini dapat menjadi wadah menyemai kasih sayang serta menyokong pendidikan Islam di negara ini.