30 Pelajar Asnaf Program Pendidikan Khas SMK Bukit Gading terima sumbangan Ramadan

Oleh: Masturiana Mohd Basri

Sungai Buloh, 6 Mac 2025 – Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Yayasan Peramah telah menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 30 pelajar Program Pendidikan Khas dalam program Santunan Kasih Ramadan 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Sungai Buloh. Program ini bertujuan untuk meringankan beban pelajar kurang upaya (OKU) yang kurang berkemampuan agar mereka dapat menyambut bulan Ramadan dengan lebih sempurna dan bermakna.

Majlis penyampaian sumbangan ini disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, yang turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan asas kepada para penerima.

“Program Santunan Kasih Ramadan 2025 ini bertujuan memberi sokongan kepada pelajar OKU yang memerlukan bantuan, agar mereka dapat merasai keberkatan bulan Ramadan dengan lebih tenang dan fokus. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta memberi semangat dalam menempuh kehidupan seharian,” ujar Dr. Sakinah Salleh.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Peramah selaku penaja utama yang turut membantu menjayakan inisiatif kebajikan ini. Wakil pengurusan SMK Bukit Gading mengucapkan penghargaan kepada Pusat Ulul Albab UPSI atas usaha murni ini yang amat bermakna bagi pelajar-pelajar yang memerlukan.

Program Santunan Kasih Ramadan 2025 berakhir dengan sesi bergambar bersama penerima sumbangan. Pusat Ulul Albab UPSI berharap agar lebih banyak program kebajikan seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi terus memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *