Oleh: Nur Atika Safika Idris dan Musa Jaafar
Shah Alam – Program Jelajah Ulul Albab 7.0: Arabic Amplifyinspire telah dijalankan oleh Pusat Ulul Albab (PUA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) bertempat di Darul Ulum Az-Zahra, Sungai Buloh dan Pusat Tahfiz Az-Zahrah Lilbanat, Shah Alam melibatkan seramai 90 pelajar dan 10 fasilitator. Program ini bertujuan bagi menggalakkan aktiviti kerjasama dalam bidang pengurusan dan latihan antara PUA dan PINTA Kebangsaan yang dijalankan pada 27 hingga 28 Jun lalu.
Jelajah Ulul Albab 7.0 ini menampilkan 5 modul baharu iaitu Ice Breaking, Motivasi, Isim dan Fe’el, Komunikasi Bahasa Arab, dan Slot Pengenalan UPSI. Modul ini dilaksanakan untuk menerapkan kemahiran kepimpinan, kemahiran berfikir secara kritis dan memberi peluang pelajar untuk mempelajari asas bahasa Arab.
Peserta program ini sangat responsif semasa program dijalankan dan memberikan kerjasama yang sangat baik. Program slot Ice Breaking telah membangkitkan semangat peserta sebelum peserta dapat mengenali diri sendiri dan rakan-rakan mereka lebih mendalam melalui aktiviti seperti Taaruf Bingo dan Picasso. Pada waktu malam, peserta terlibat dengan modul Bahasa Arab, khususnya Isim dan Fe’el, di mana mereka mempelajari asas Bahasa Arab yang dapat meningkatkan kosa kata mereka. Selain itu, mereka juga dapat membezakan antara Isim dan Fe’el dengan baik melalui aktiviti Sticky Word Dash yang dijalankan.Pada hari terakhir, peserta didedahkan dengan modul komunikasi Bahasa Arab yang meminta peserta untuk berkomunikasi dalam kumpulan menggunakan Bahasa Arab. Mereka juga diajar cara berkomunikasi dengan baik, menggunakan intonasi dan nada yang sesuai serta belajar mengenai penggunaan ayat yang tepat mengikut situasi semasa berbicara.
Program ini diakhiri dengan modul pengenalan UPSI kepada peserta supaya mengetahui dan mengenali sejarah penubuhan UPSI, program- program yang ditawarkan, dan syarat-syarat kemasukan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris. Peserta juga diberikan risalah yang membolehkan mereka mengetahui syarat-syarat kemasukan tersebut.
Majlis penutupan program Jelajah Ulul Albab 7.0 ini dirasmikan oleh Timbalan Pendaftar Pusat Ulul Albab, Musa Jaafar. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pusat tahfiz yang telah menerima program ini dengan baik serta memberikan kepercayaan penuh kepada fasilitator untuk mengendalikan program tersebut. Pengarah program Jelajah Ulul Albab 7.0: Arabic, Mohd Izznul Hakim Mohd Noor, menyatakan rasa bangga dan syukur atas pelaksanaan program dan menerima respon positif dari pusat tahfiz dan peserta. Diharapkan program yang dijalankan ini dapat diteruskan lagi supaya lebih ramai yang mendapat manfaat, katanya.