
Oleh: Aiman Fahim dan Nuril Aqilah
Tanjong Malim, 24 Disember 2024– Program Caliph Camp 4.0: Fun and Learn! diadakan selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Disember 2024 berjaya menyerlahkan potensi peserta melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan menyeronokkan. Program ini, anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengumpulkan seramai 21 pelajar berumur 7 hingga 14 tahun, termasuk anak-anak staf UPSI dan penduduk sekitar Tanjong Malim.
Menariknya, program ini mengaplikasikan tiga elemen penting konsep Ulul Albab: Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik. Dikendalikan sepenuhnya oleh 10 fasilitator terlatih daripada KeSUA, kem ini dipenuhi modul yang menekankan nilai Islamik, ilmu pengetahuan, dan aktiviti kreatif untuk memperkasa pelajar secara holistik.


Modul Dinamik Serlahkan Potensi Pelajar, program dimulakan dengan Ice Breaking & Taaruf, yang berfungsi sebagai sesi memperkenalkan diri secara santai dan menyeronokkan untuk mengukuhkan ukhuwah antara peserta. Aktiviti kerjasama ini memberi ruang kepada peserta untuk membina hubungan positif sambil meningkatkan keyakinan diri.


Slot Quran Fil Qalbi dan Smart Solat pula menumpukan kepada pemahaman surah Al-Mu’minun dan memperbaiki bacaan surah Al-Fatihah serta bacaan solat. Aktiviti praktikal seperti wuduk dan solat berjemaah di Surau Annur, UPSI, memastikan peserta bukan sahaja memahami teori tetapi juga menguasai amalan dengan betul.


Dalam modul Art to Heart, peserta didedahkan kepada seni kreatif melalui aktiviti seperti Magic Clay dan anyaman kertas. Aktiviti ini memupuk kreativiti, inovasi, dan kemahiran psikomotor, yang amat penting untuk pembangunan holistik kanak-kanak.


Hari kedua menyaksikan modul Langkah Adab Langkah Bahagia, yang memberi penekanan terhadap adab harian, dilaksanakan melalui lakonan situasi yang menarik. Slot Ijtihadik (Problem Solution) pula mencabar kreativiti peserta dengan aktiviti seperti Kotak Misteri dan Minda Pro, menggalakkan mereka berfikir secara kritis dan bekerjasama dalam kumpulan.


Slot STEM: Fun & Science memberi pengalaman pembelajaran sains melalui eksperimen menyeronokkan seperti DIY pH indicator menggunakan bunga telang dan aktiviti Belon Gas. Modul ini membuktikan bahawa sains adalah satu bidang yang menarik dan mudah difahami apabila dikaitkan dengan pengalaman praktikal.


Aktiviti Fizikal dan Lawatan Berinformasi pada hari terakhir program dimulakan dengan Let’s Treasure Hunt, sebuah aktiviti fizikal yang menguji daya tahan peserta sambil menggabungkan elemen pembelajaran. Peserta turut dibawa melawat Muzium Nasional Pendidikan UPSI dan Perpustakaan Tuanku Bainun untuk mendalami sejarah UPSI serta menanam rasa cinta terhadap institusi pendidikan.
Sebagai penutup, slot Kalimah Akhirah menilai pencapaian peserta sepanjang program. Pelbagai maklum balas positif diterima, dengan ramai peserta menyatakan kesan besar yang mereka peroleh daripada pengalaman tersebut. Penyelaras Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Tajul Rosli Shuib, dalam ucapannya semasa majlis penutupan, menyatakan komitmen untuk menjadikan program ini acara tahunan semasa cuti sekolah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan padu mereka. Penasihat program, Nor Hayati Aziz, berharap program ini dapat terus diperluas dan menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang. Beliau turut menekankan bahawa program seperti ini bukan sahaja bermanfaat kepada peserta tetapi juga memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan.
Caliph Camp 4.0: Fun and Learn! membuktikan bahawa pembelajaran tidak semestinya formal dan membosankan, tetapi boleh menjadi satu pengalaman menyeronokkan dan bermakna yang mampu membentuk generasi muda yang holistik dan berdaya saing.