
Oleh: Siti Fatimah Abd Najid
TANJONG MALIM, 22 Januari 2025– Program ‘Pro Quranic Class’ anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya dilaksanakan bermula 9 November 2024 hingga 18 Januari 2025. Program ini merupakan kesinambungan daripada program ‘Oh My Tajwid’ yang telah dianjurkan sejak 2018, dengan pembaharuan menerusi pendekatan usrah.


Pendekatan ini bukan sahaja memberi penekanan kepada pembelajaran Al-Quran, malah turut membina hubungan erat antara peserta dan tenaga pengajar, dengan mengutamakan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kerjasama, dan keikhlasan.


Pelaksanaan Secara Hybrid Kelas Tahsin Al-Quran ini diadakan pada setiap Sabtu secara hybrid, melibatkan sesi bersemuka di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, serta secara dalam talian melalui platform Google Meet. Seramai 128 peserta termasuk ahli Kelab Sahabat Ulul Albab dan mahasiswa UPSI telah mendaftar untuk program ini, menunjukkan minat yang tinggi terhadap pembelajaran Al-Quran.
Program ini dibimbing oleh lapan tenaga pengajar terlatih yang terdiri daripada pelajar ISMP Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan, ISMP Pendidikan Islam, serta ISMP Bahasa Arab dengan Pendidikan. Setiap tenaga pengajar diberi tanggungjawab membimbing kumpulan masing-masing bagi memastikan fokus diberikan terhadap bacaan dan pemahaman Al-Quran.


Program ini dirancang secara sistematik dengan pengisian berbeza pada setiap sesi. Sesi pertama bermula pada 9 November 2024 dengan ‘Minggu Suai Kenal’ yang melibatkan 57 peserta. Aktiviti ice breaking telah dijalankan untuk merapatkan silaturahim antara peserta dan tenaga pengajar.
Sesi seterusnya memberi tumpuan kepada pembacaan talaqqi, pembetulan tajwid, dan tadabbur ayat-ayat Al-Quran. Antara surah yang dipelajari ialah Surah As-Sajadah, Al-Mulk, Ayat Kursi (Surah Al-Baqarah), serta ayat syifa’ daripada Surah At-Taubah dan An-Nahl.
Sorotan Aktiviti dan Fokus Pembelajaran adalah 16 November 2024: Talaqqi Surah As-Sajadah ayat 1-15 dan tadabbur kandungan surah 23 November 2024: Talaqqi ayat 16-30 Surah As-Sajadah serta pengenalan asas tajwid dan makhraj huruf , 7 Disember 2024: Tadabbur dan talaqqi Surah Al-Mulk ayat 1-15 secara dalam talian, 21 Disember 2024: Bacaan Ayat Kursi serta pembelajaran hukum Alif Lam Ma‘rifah, 28 Disember 2024: Talaqqi ayat syifa’ Surah At-Taubah ayat 14-15 dan hukum Nun Mati & Tanwin.dan 18 Januari 2025: Penutupan program dengan talaqqi dan tadabbur ayat syifa’ Surah An-Nahl ayat 67-69 serta pembelajaran hukum Mim Mati.
Program ini berjaya meningkatkan kualiti bacaan Al-Quran peserta di samping memperkukuhkan kefahaman mereka terhadap isi kandungan kitab suci ini. Diharapkan, Pro Quranic Class bukan sahaja melahirkan mahasiswa UPSI yang cemerlang akademik, malah membentuk individu yang dapat mencerminkan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan dan masyarakat.
“Program ini adalah langkah penting dalam usaha membentuk generasi celik Al-Quran, bukan sahaja dari segi bacaan tetapi juga kefahaman mendalam terhadap makna dan mesej yang terkandung dalam setiap ayat,” kata Pengarah Program, meluahkan keyakinan terhadap keberkesanan inisiatif ini.
Penasihat Program, Nor Hayati Aziz berkata, “Program Pro Quranic Class ini adalah satu inisiatif yang sangat signifikan dalam usaha mendekatkan generasi muda dengan Al-Quran. Ia bukan sekadar tentang memperbaiki bacaan, tetapi juga menyentuh aspek penghayatan dan pemahaman isi kandungan kitab suci ini.
Pendekatan yang menggabungkan talaqqi, tadabbur dan pengukuhan ilmu tajwid memberikan peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran mereka sambil menerapkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, disiplin dan keikhlasan.