PROGRAM SAHABAT HORIZON, PERKASA ELEMEN QURANIK, ENSIKLOPEDIK DAN IJTIHADIK DI UPSI

Oleh: Nor Hayati & Nur Hazimah Mazlan

TANJONG MALIM, 9 Januari 2025– Program Sahabat Horizon, anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) UPSI, berjaya dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang dari 21 Disember 2024 hingga 8 Januari 2025. Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Ulul Albab Peringkat 2 Kohort 13 yang berlangsung pada penghujung November 2024.

Bertujuan untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang Peringkat 2 dan berkongsi pengetahuan tersebut dengan mahasiswa lain, Sahabat Horizon turut menjadi medium menyantuni mahasiswa UPSI melalui pendekatan dakwah yang mesra dan penuh hikmah.

Lima kumpulan pelaksana telah ditubuhkan untuk menggerakkan lima program utama berteraskan elemen Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik. Setiap program mengangkat konsep street dakwah, membawa mesej kebaikan terus kepada mahasiswa di pelbagai lokasi sekitar kampus UPSI.

Pelaksanaan Sahabat Horizon: Misi Al Hikmah di Kafe KHAR
Pelaksanaan Sahabat Horizon: Misi Al Hikmah di Masjid Al-Mursyidin

Program pertama, Brainy Jar, berlangsung pada 21 dan 22 Disember 2024 di kawasan kediaman KHAR, KAHS dan KUO. Berlandaskan elemen Ijtihadik, program ini memupuk pemikiran kritis melalui perkongsian ilmu dan soalan-soalan minda yang mencabar. Mahasiswa menyambut baik pendekatan ini, yang menggalakkan daya intelek dalam suasana santai.

Pada 4 Januari 2025, dua program dilaksanakan serentak di Kafe Kolej KUO & KHAR serta Perhentian Bas UPSI. Power of Doa menonjolkan elemen Quranik, di mana mahasiswa menerima bookmark yang memuatkan doa-doa pilihan sebagai panduan harian. “Doa mampu menjadi senjata utama untuk kekuatan rohani,” kata seorang peserta yang teruja dengan pendekatan ini.

Sementara itu, The Power of Mind menyajikan permainan minda interaktif untuk menguji kecerdasan mental mahasiswa. Dengan elemen Ijtihadik, program ini membentuk daya fikir yang tajam dan kesediaan menangani cabaran dengan bijak.

Pelaksanaan Sahabat Horizon: Misi Al Hikmah di Kafe KHAR
Sahabat Horizon: Brainy Jar di Kolej KUO

Pada 5 Januari, Golden Traits mengambil tempat di Kafe KHAR dengan fokus mendalam pada sifat-sifat terpuji yang digariskan dalam al-Quran. Program ini menyasarkan pembangunan akhlak peserta selari dengan elemen Quranik, sekali gus menyemai kesedaran pentingnya nilai-nilai mulia dalam kehidupan.

Kemuncak Sahabat Horizon, Misi Al-Hikmah, berlangsung pada 8 Januari 2025 di sekitar kampus termasuk Masjid Al-Mursyidin, perhentian bas, dan kafe. Dalam misi ini, bookmark berisi amalan kecil seperti senyuman dan menyusun selipar diedarkan kepada mahasiswa, menyeru mereka menyebarkan kebaikan dalam komuniti.

Menurut Penasihat KeSU, Nor Hayati Aziz, program ini bertujuan memanfaatkan ilmu peserta Program Ulul Albab Peringkat 2 Kohort 13 dan mencipta suasana kampus yang harmoni melalui pendekatan dakwah bil hikmah.

Program Sahabat Horizon bukan sekadar menyuntik elemen keilmuan, malah melahirkan mahasiswa holistik yang seimbang dari segi akademik, sahsiah, dan rohani. Melalui kerjasama dan semangat ukhuwah, program ini diharap dapat terus memperkukuh budaya kebaikan di kampus UPSI.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *