
Oleh: Nur Farzana Binti Abd Rashid dan Nor Syazwani Binti Mohamad Zainal
Tanjung Malim, 31 Disember 2024 – Program Strong 100: Bahasa Mandarin & Bahasa Korea Tahap 1 berjaya menjadi platform yang mengintegrasikan pembelajaran bahasa dan penguasaan budaya. Program berkonsepkan kelas bahasa intensif ini dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Majlis Timbalan Dekan HEPA dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA). Dijalankan selama 10 minggu, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kemahiran linguistik pelajar sekaligus memperkasa mereka untuk menghadapi cabaran dunia global.


Program ini telah bermula kelas diadakan setiap hari Sabtu pada 19 Okt Oktober berakhir pada 28 Disember 2024. Strong 100: Bahasa Mandarin menarik penyertaan seramai 41 orang pelajar manakala Strong 100: Bahasa Korea diikuti oleh 31 orang pelajar dari pelbagai fakulti. Bagi memastikan kualiti pengajaran, program ini menampilkan tenaga pengajar berpengalaman, Encik Azhar Kamis, yang mahir dalam Bahasa Korea, dan Puan Nur Akmal Binti Othman, pakar Bahasa Mandarin, telah dipertanggungjawabkan untuk memimpin kelas ini. Setiap pelajar diberikan perhatian khusus melalui latihan intensif mingguan. Pelajar turut diberi peluang mempraktikkan pembelajaran mereka melalui aktiviti perbincangan kumpulan dan pembentangan di dalam kelas.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kefasihan pelajar dalam berbahasa asing tetapi turut memperluaskan wawasan mereka terhadap budaya Korea dan China. Kemahiran ini menjadi nilai tambah penting dalam dunia pekerjaan yang semakin bersifat antarabangsa.
Bagi mengukur keberkesanan pembelajaran, peperiksaan akhir telah dijalankan pada minggu terakhir program. Ujian ini merangkumi ujian lisan, bertulis, dan mendengar, melibatkan 27 pelajar Bahasa Mandarin dan 14 pelajar Bahasa Korea. Keputusan menunjukkan kemajuan ketara dalam penguasaan bahasa oleh setiap peserta.


Program ini diakhiri dengan majlis susulan, Strong 100: Step To Success, yang menjadi platform pertunjukan bakat pelajar. Pelajar diberi peluang mempersembahkan kebolehan mereka dalam bahasa yang dipelajari, selain menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan usaha mereka majlis ini turut dihadiri oleh wakil Majlis Timbalan Dekan HEPA , yang memberikan sokongan moral kepada para peserta.
Secara keseluruhannya, Strong 100: Bahasa Mandarin & Bahasa Korea Tahap 1 telah mencapai matlamat utamanya untuk melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dengan kemahiran pelbagai bahasa. Program ini memberikan nilai tambah yang amat dihargai oleh majikan dalam era globalisasi. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk mengukuhkan kemahiran bahasa tetapi juga untuk membuka peluang baharu kepada pelajar dalam menimba ilmu di luar bidang pengajian utama mereka di UPSI.