
TANJONG MALIM, 21 FEBRUARI 2025 -Pusat Ulul Albab (PUA) menerima kunjungan hormat Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertujuan memperkenalkan Modul Usrah Kontemporari yang telah dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan JAIPk bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam memperkasakan pengisian usrah yang lebih berkesan dan relevan dengan perkembangan semasa terutamanya kepada pelajar universiti.
Perbincangan juga memfokuskan isu-isu dakwah kepada masyarakat majmuk serta membangunkan kerjasama untuk memperluas dakwah Islam di peringkat sekolah dan universiti. Pelaksanaan Modul Smart Circle bagi non-muslim dan forum motivasi turut diperkenalkan.


Unit Latihan JAIPk dan wakil pengajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Puan Siti Zuhaida Mohd Yunus, Ustaz Muhammad Asyraff Airie Ariffin bersama tiga orang pegawai hadir membincangkan misi Modul Usrah Kontemporari bersama Pusat Ulul Albab.
Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab, Dr. Tajul Rosli Shuib bersama Penyelaras 2, Pusat Ulul Albab, Dr. Samsuddin Abd Hamid dan Timbalan Pendaftar, En. Musa Jaafar, menyambut mesra kunjungan ini bersama kakitangan PUA dan wakil pelajar.
Dalam perbincangan tersebut, Ustaz Muhammad Asyraff menyuarakan hasratnya untuk bekerjasama dengan PUA dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk memperkenalkan teknik dakwah yang mudah dan efektif melalui pendekatan modul usrah tersebut.


Pendekatan ini menggunakan kaedah dua hala dan pembuktian melalui Al-Quran untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam dan menyampaikan dakwah kepada bukan Islam.
Buku Silibus Usrah Kontemporari, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang terdiri daripada Tahap 1 hingga Tahap 5 mula dibina pada tahun 2011 adalah merupakan panduan komprehensif bagi membina asas keagamaan yang kukuh melalui pendekatan usrah, menggunakan pendekatan interaktif yang mudah difahami, dengan membawakan tema utama dalam bidang tauhid, fekah, tafsir, hadis, tajwid, akhlak dan sirah.
Dr. Tajul Rosli menyatakan sokongan terhadap kerjasama JAIPk dan UniKL dengan mengadakan aktiviti seperti forum kesedaran, pameran bahan dakwah dan perjumpaan mingguan yang melibatkan kehadiran nuqabah.
Program IKON Ulul Albab turut diketengahkan yang mana telah mendapat sambutan dalam kalangan sekolah-sekolah di bawah Kementerian dan juga mendapat sokongan mesra serta idea kerjasama daripada pihak JAIPk.
Menurut Dr. Samsuddin, program ini perlu penyelarasan penggunaan modul untuk semua peringkat universiti bagi meningkatkan kredibilitipara pentadbir dan pendidik dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.
Oleh itu, kerjasama dan penglibatan badan pelajar yang berteraskan islam atau lebih dikenali sebagai persatuan Gagasan Islam haruslah diturut serta.
Dalam kesimpulannya, Dr. Tajul Rosli berkata matlamat keseluruhan program ini adalah untuk mengetengahkan konsep Ulul Albab sebagai satu solusi kepada pembentukan generasi akan datang dan amat berguna dalam memantapkan lagi kualiti pentadbir dan pendidik pada masa hadapan dengan menampilkan panel-panel yang hebat dan mahir dalam bidang masing-masing.