
Slim River, 5 Mac 2025 – Seramai 20 orang penduduk di Pos Bersih, Ulu Slim menerima sumbangan dalam satu majlis yang diadakan di Surau As-Syakirin, Sekolah Kebangsaan Pos Bersih (Sekolah K9). Program ini merupakan hasil kerjasama antara Pusat Ulul Albab (PUA), Yayasan Peramah dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Slim River.
Majlis agihan sumbangan ini diketuai oleh Dr. Tajul Rosli Shuib, Penyelaras 1 PUA, bersama Musa Jaafar, Timbalan Pendaftar PUA. Turut hadir ialah Ustaz Nor Azamuddin Mohsen bersama kakitangan dari Pejabat Agama Islam Slim River yang memainkan peranan penting menghubungkan wakil PUA dengan masyarakat orang asli di sini.

Majlis bermula pada jam 7.00 petang dengan sesi tazkirah ringkas serta alunan zikir munajat bersama para peserta. Program diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Azam sebelum sumbangan diagihkan kepada penerima. Masyarakat Islam Orang Asli ini telah menerima sumbangan berupa beras, barangan dapur dan wang tunai.
Seorang penerima sumbangan menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas sumbangan yang diterima, “Saya mengucapkan terima kasih dan gembira atas sumbangan ini. Harapnya kami dapat meneruskan puasa dan raya dengan gembira atas apa yang pihak tuan berikan.”
Dr. Tajul Rosli dalam ucapannya menzahirkan harapan agar masyarakat Islam Orang Asli di Pos Bersih terus istiqamah dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Agama Slim River, khususnya Ustaz Azam, atas usaha dan sokongan mereka dalam menjayakan program ini.

Program ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan tetapi juga sebagai satu usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan umat Islam. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan masyarakat setempat.