UPSI Anjur Majlis Bacaan Tahlil, Tazkirah & Bacaan Yassin Sempena Program Rabu Qalbu

Oleh: Encik Musa Jaafar

TANJONG MALIM, 26 FEBRUARI 2025 – Pusat Ulul Albab (PUA), dengan kerjasama Kelab Kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), telah menganjurkan Majlis Bacaan Tahlil Berkelompok, Tazkirah & Bacaan Yassin sempena Program Rabu Qalbu di Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis yang penuh bermakna ini disertai oleh kakitangan dan staf UPSI yang beragama Islam, bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah Islamiah dalam kalangan warga universiti.

Program dimulakan dengan sesi bacaan Yassin dan Tahlil yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, Ustaz Muhammad Safwan Ismail.

Bacaan ini diadakan secara berkelompok, dengan harapan untuk meraih keberkatan dan rahmat dari Allah SWT serta meningkatkan amalan kebaikan dalam kalangan peserta.

Seterusnya, Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab, Dr. Samsuddin Abd Hamid telah menyampaikan tazkirah yang bertemakan ‘Kelebihan Bulan Ramadan dan Amalan yang Disarankan’.

Tazkirah ini memberikan pencerahan mengenai cara umat Islam boleh mempersiapkan diri secara rohani dan meningkatkan ibadah mereka, terutamanya menjelang bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

Pencerahan yang disampaikan amat relevan sebagai panduan untuk menghadapi cabaran spiritual sepanjang bulan suci tersebut.

Pada majlis tersebut berlangsungnya penyerahan Bingkisan Ramadan yang disumbangkan oleh Kelab Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI kepada 19 Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Bingkisan ini mengandungi bantuan berupa sokongan harian bagi mempermudahkan urusan penerima sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Sebagai penghargaan terhadap usaha dan dedikasi yang ditunjukkan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Tarmizi telah menyampaikan penghargaan kepada Ustaz Muhammad Safwan atas pemilihannya untuk mewakili Malaysia dalam Program Mobiliti Imam-Ihya’ Ramadan (Qari in Residence) yang akan diadakan di Perth, Australia, dari 28 Februari hingga 1 April 2025.

Penghargaan ini turut mengiktiraf pencapaian beliau dalam memperkasa peranan imam dalam menghidupkan bulan Ramadan di peringkat antarabangsa.

Diharapkan melalui penganjuran program sebegini, hubungan antara staf dan kakitangan UPSI khususnya JHEPA akan terus kukuh, dan semangat ukhuwah Islamiah dalam kalangan warga universiti akan terus berkembang, menjadikan UPSI sebagai contoh dalam membina masyarakat yang berwibawa dan berteraskan nilai-nilai Islam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *