
Oleh: Nor Aimi Nabila Shamsulazman dan Musa Jaafar
Tanjong Malim, 26 April – Buat julung kalinya, Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Pusat Islam UPSI, berjaya menganjurkan program Ulul Albab Got Talent yang berlangsung dengan penuh kemeriahan di Masjid Al-Mursyidin, UPSI sempena program Masjid Al-Mursyidin Open Day 2025.
Program yang bertujuan untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti dalam kalangan pelajar ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 15 peserta, yang tampil dengan pelbagai persembahan menarik, mencerminkan potensi besar generasi muda dari pelbagai peringkat umur.
Golongan sasaran bagi program ini terdiri daripada pelajar di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, dan sekolah menengah yang menetap di kawasan sekitar daerah Muallim.
Setiap kategori peserta diberikan tema khusus untuk menguji kreativiti mereka. Peserta prasekolah tampil dengan tema kebersihan dan keselamatan, peserta sekolah rendah mengangkat tema adab dan akhlak, manakala peserta sekolah menengah menonjolkan tema sains dan teknologi yang mencerminkan kepedulian mereka terhadap kemajuan ilmu dalam konteks Islam.


Penganjuran program yang berprestij ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam membina keyakinan diri, memperkukuh sahsiah, serta memupuk minat terhadap seni Islamik dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.
Ini juga sejajar dengan aspirasi UPSI untuk terus menjadi peneraju pendidikan yang holistik, berlandaskan prinsip-prinsip nilai dan akhlak Islam, serta memberikan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat mereka secara menyeluruh.