
Oleh: Nurul Adlina & Annisa Sajida
Tanjung Malim, 18 Mei 2025 – Pusat Ulul Albab (PUA), UPSI sekali lagi tampil menerajui pembangunan modal insan bersepadu menerusi Program Pensijilan Profesional Ulul Albab (Tahap Lanjutan) Siri ke-7, yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mei lalu.
Program lanjutan ini merupakan kesinambungan kepada tahap pertengahan yang memfokuskan kepada pengukuhan tiga elemen teras model Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Setiap slot dirangka secara sistematik bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi rohani, intelek, dan kepimpinan.
“Program ini bukan sekadar teori, malah membekalkan peserta dengan pemahaman mendalam dan pengalaman praktikal yang relevan dengan cabaran semasa,” ujar salah seorang fasilitator program.
Dalam topik sorotan Modul QEI: Sentuhan Ilmu & Nilai,Slot “Quranik 1: Kain Putih” membuka tirai dengan perkongsian oleh Zulkifli Mamat yang menekankan kepentingan akhlak mulia berlandaskan wahyu. Seterusnya, Dr. Samsuddin Abd Hamid dalam slot “Quranik 2: Pujangga Tertinggi” membawa peserta menyelami keindahan bahasa dan falsafah al-Quran sebagai teks agung.




Slot “Quranik 3: Khalifah Profesional” oleh Dr. Tajul Rosli Shuib mengangkat peranan insan sebagai khalifah melalui lima tonggak pendidikan Islam: Muallim, Mudarris, Muaddib, Murabbi, dan Mursyid – satu pendekatan holistik ke arah pembentukan pemimpin berintegriti.


Bagi slot Ensiklopedik: Kreativiti dan Kolaborasi di bawah bimbingan Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin, modul Cyclo Race dalam slot Ensiklopedik memberi peluang kepada peserta untuk membina dan menilai permainan berasaskan konsep pembelajaran berasaskan masalah (PBL). Peserta bukan sahaja diuji dari segi kreativiti, malah keupayaan refleksi dan kerja berpasukan turut diuji secara praktikal.
Slot Ijtihadik: Solusi Berasaskan Realiti dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob dan Siti Salwa Jamaldin memperkasakan pemikiran kritikal peserta dalam menyelesaikan isu mahasiswa melalui penciptaan produk inovatif. Peserta diberikan ruang membentang, berdebat dan menerima maklum balas, menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan dinamik.
Gabung Jalin Ilmu & Amaliyang melibatkan 20 peserta dari pelbagai fakulti dan ahli Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) ini berjaya membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi juga mampu mempraktikkan nilai dan kemahiran dalam kehidupan sebenar.
“Program ini membuka mata saya tentang bagaimana al-Quran boleh diterjemahkan dalam tindakan harian sebagai pelajar dan pemimpin,” ujar salah seorang peserta.
Melalui pelaksanaan program ini, PUA jelas menunjukkan komitmen dalam memupuk generasi Ulul Albab yang holistik, dinamik dan relevan dengan kehendak zaman.