
Oleh: Nor Hayati Aziz
Kuala Kangsar, 10 Ogos 2025– Seramai 24 jurulatih Ulul Albab bersama empat pegawai Pusat Ulul Albab (PUA), UPSI telah berkumpul dalam Bengkel Semakan Semula Pensijilan Ulul Albab bertujuan memantapkan kandungan dan pelaksanaan modul pensijilan agar kekal relevan dengan keperluan semasa.
Bengkel yang dipimpin oleh barisan penceramah berpengalaman ini dimulakan dengan taklimat urusetia oleh Nor Hayati Aziz, diikuti taklimat perjalanan bengkel oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid dan sesi ice breaking oleh Dr. Zulkifli Mamat.
Pengarah PUA, Dr. Sakinah Salleh dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa semakan modul ini adalah proses penting bagi memastikan matlamat pendidikan Ulul Albab terus tercapai.
“Kita mahu memastikan pelajar Ulul Albab bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, tetapi juga memiliki kemahiran dan sahsiah unggul yang membolehkan mereka menjadi pemimpin masa hadapan. Modul ini adalah panduan utama, dan ia mesti sentiasa dikemas kini agar kekal relevan serta berkesan,” katanya.



Antara fokus utama bengkel ialah pemurnian sinopsis modul dan penyataan hasil pembelajaran bagi setiap komponen QEI (Quranic, Ensiklopedik & Ijtihadik), penyelarasan PLO mengikut komponen Andalusia 2.0, serta pembangunan isi kandungan modul. Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid, Dr. Md Noor Saper dan Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob melalui perbincangan strategik yang produktif.


Jurulatih Ulul Albab turut mengikuti Sesi Gaya Penceramah oleh Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob bagi mengadaptasi kaedah penyampaian terkini yang kreatif dan berkesan. Bengkel diakhiri dengan sesi rumusan dan soal jawab yang memuktamadkan draf modul baharu. Dengan hasil kerja yang lebih teratur, PUA yakin modul ini akan menjadi panduan mantap untuk melahirkan graduan Ulul Albab yang cemerlang, seimbang dan berdaya saing.