ASPIRE LEADERS: PERKASA KEPIMPINAN MUDA DENGAN KREATIVITI DAN INSPIRASI

Oleh: Muhammad Aidil Putra Affendi

TANJONG MALIM, 6 September 2025 – Program Aspire Leaders: Lead With Purpose, Inspire With Action anjuran Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Kolej Vokasional Slim River (KVSR), dengan kerjasama empat badan kepimpinan pelajar KVSR iaitu Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pusat Sumber Sekolah (PSS), Majlis Kolej Kediaman KV(MKK) dan Majlis Perwakilan Pelajar KV(MPP) telah berlangsung selama dua hari dengan penuh bersemangat di Dewan Kolej Za’ba, UPSI.

Program ini bertujuan membentuk pelajar berdisiplin, berwawasan serta berkarisma, selain melahirkan kepimpinan muda yang kreatif dan berdaya cipta. Selaras dengan tagline “Lead With Purpose, Inspire With Action”, penganjuran menekankan nilai kepimpinan berteraskan keberanian, integriti, inovasi dan impak positif kepada organisasi serta masyarakat.

Hari pertama dimulakan dengan pendaftaran peserta sebelum disusuli aktiviti Ice Breaking yang mencetuskan suasana ceria melalui permainan Find Me dan Squid Game versi santai. Peserta kemudiannya mengikuti slot modul Innovate Beyond yang mengetengahkan kepentingan inovasi dalam kepimpinan. Pada sebelah malam, slot Team Building dijalankan dengan aktiviti mencabar seperti Sketch Blind dan Bongkok Tiga, menguji kerjasama, komunikasi dan kebijaksanaan peserta.

Hari kedua bermula seawal jam 5.00 pagi dengan solat Subuh berjemaah, tazkirah ringkas serta riadah santai. Tepat jam 8.30 pagi, peserta mengikuti slot modul F.A.2.A, yang menekankan ciri pemimpin unggul iaitu fokus, adab dan keberanian. Seterusnya, slot bersama Dr. Tajul Rosli bertajuk “Pemimpin Muda, Jiwa Besar” menggunakan pendekatan analisis SWOT untuk membuka minda peserta mengenali kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam organisasi serta diri sendiri.

Program mencapai kemuncak dengan Majlis Penutup pada jam 4.30 petang yang dihadiri Timbalan Pengarah Akademik KVSR, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar KVSR, Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Saleh, serta Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab.

Dalam ucapan, Dr. Sakinah menyeru agar semua peserta menjadikan tagline program sebagai panduan memimpin dengan tujuan yang jelas dan memberi inspirasi melalui tindakan.

Majlis turut diserikan dengan ucapan wakil pelajar KVSR, Yang Dipertua MPP, yang menegaskan kepimpinan adalah medan khidmat untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan sekadar memegang jawatan.

Acara diteruskan dengan tayangan video montaj, penyampaian hadiah serta penghargaan kepada peserta dan fasilitator, sebelum sesi bergambar beramai-ramai menutup tirai program.

Secara keseluruhan, Aspire Leaders 2025 berjaya memberi impak besar kepada mahasiswa UPSI dan pelajar KVSR. Sinergi empat badan kepimpinan pelajar, PRS, PSS, MKK dan MPP yang membuktikan bahawa kolaborasi serta semangat kebersamaan mampu melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, berinovasi dan berjiwa besar.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *