
Oleh: Amilia Abdul Halil
Tanjung Malim, 11 Julai 2025 – Dalam usaha UPSI melahirkan generasi pendidik ulul albab, satu Bengkel Pembangunan Program Asasi Ulul Albab telah dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Akademik (PPA) dengan melibatkan beberapa pusat tanggungjawab iaitu Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Institut Pendidikan Tahfiz Dan Turath Islami (I-Furqan) dan Pusat Ulul Albab (PUA).
PPA telah menjemput Pengarah dari Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa binti Syed Saadun Tarek Wafa untuk berkongsi input pembangunan kurikulum program asasi ulul albab.
Bengkel ini memberi ruang kepada para peserta berkongsi pandangan dan mencadangkan kurikulum program asasi yang akan dibangunkan di UPSI dengan mengambil kira perkongsian yang telah disampaikan oleh Pengarah PUSPA.
Tujuan utamanya adalah untuk merangka kurikulum Program Asasi Ulul Albab yang menyepadukan nilai-nilai keilmuan Islam dengan kecemerlangan akademik moden.
Antara pengisian penting bengkel ini termasuk perbincangan kerangka kurikulum dan modul hafazan yang sesuai bagi pelajar asasi berdasarkan acuan niche Pendidikan UPSI. Turut disentuh tentang kaedah promosi program dan penajaan pelajar apabila mereka telah mendaftar ke program asasi elak.

Hasil bengkel ini akan digunakan sebagai asas kepada pembangunan kurikulum rasmi Program Asasi Ulul Albab yang dijangka akan dilaksanakan pada Julai 2026.
Para peserta juga telah mengenal pasti keperluan untuk menyediakan garis masa dan dokumentasi untuk mendapatkan kelulusan penawaran program oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program ini secara menyeluruh.