Canvas of Hope: Restoring Hope, Embracing Life

Oleh: Fatin Athirah Pathe Mohammad She’leh

Tanjong Malim, 26 April 2025 – Program bertajuk Canvas of Hope: Restoring Hope, Embracing Life telah berjaya dianjurkan di Masjid Al-Mursyidin dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Pusat Islam, Kolej Kediaman Bersepadu, Rakan Siswa Yadim, Persatuan Pendidikan Islam, Persatuan Tahfiz Qiraat, Kelab Sahabat Ulul Albab dan kelab Harmoni.

Program ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 petang dan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan mental serta memupuk harapan baru dalam kalangan peserta.

Program ini dikendalikan oleh Aina Syazwina Zulfah Ahmad Shahiruddin, ahli sekretariat Hal Ehwal Mahasiswa (Helwi) di bawah kelab Al-Mursyidin sidang 2024/2025 selaku moderator.

Turut hadir dua panel jemputan iaitu Ustazah Nurul Hidayah Kamaruddin, seorang pendakwah bebas, serta DMY Siti Aishah Binti Abdul Rahmat, Penolong Pengarah Unit Belia Kepimpinan Muda Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM).

Kedua-dua panel berkongsi pandangan tentang bagaimana membina kekuatan dalaman dan memelihara kesihatan mental berpandukan nilai Islam dan pendekatan semasa.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran VIP, iaitu Ustazah Bazliah Ahmad Mahmud, Pegawai Tadbir Kanan Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris, serta Ustazah Noorheli Binti Ayob, Pembantu Hal Ehwal Kanan Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program bermula dengan perarakan masuk panel, VIP, dan pengarah program. Seterusnya bacaan asmaul husna dan doa menjadi pembuka acara sebelum sesi perkongsian ilmu bermula.

Sesi dijalankan dalam dua pusingan, di mana para panel berkongsi pengalaman, cabaran, dan solusi dalam menangani isu kesihatan mental, sambil menyeru peserta untuk terus memelihara harapan dan nilai kehidupan.

Sesi soal jawab yang interaktif membolehkan peserta mengajukan soalan berkaitan cabaran kesihatan mental dan mendapatkan jawapan serta nasihat daripada panel berpengalaman. Program diakhiri dengan ucapan penutup, sesi fotografi, dan bersurai dalam suasana yang penuh kesyukuran dan harapan baru.

Semoga program Canvas of Hope: Restoring Hope, Embracing Life ini menjadi pencetus kepada langkah-langkah positif dalam memperkukuh ketahanan diri serta memartabatkan kesihatan mental dalam komuniti kita.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *