KUNJUNGAN HORMAT GABUNGAN DAKWAH MALAYSIA KE PUSAT ULUL ALBAB

Oleh: Nur Atika Safika Idris & Musa Jaafar

Tanjong Malim, PERAK – Pusat Ulul Albab (PUA) menerima kunjungan hormat  Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) bertujuan memperkenalkan GDM dan memfokuskan perbincangan isu-isu dakwah kepada masyarakat majmuk serta membangun kerjasama untuk memperluas dakwah Islam di peringkat universiti pada 25 Jun lalu.

Pengerusi Gabungan Dakwah Malaysia, Wan Ahmad Nizar Zakaria bersama  empat pegawai hadir membincangkan misi GDM bersama Pusat Ulul Albab. Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh dan Pengarah Pusat Islam, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman turut menyambut mesra kunjungan ini bersama beberapa pegawai PUA dan wakil pelajar.

Dalam perbincangan tersebut, Ketua Jabatan Operasi, Hidayah Centre Foundation, Noli Hussain mempersembahkan hasratnya untuk bekerjasama dengan PUA dan wakil persatuan untuk memperkenalkan teknik dakwah yang mudah dan efektif melalui pendekatan A.S.A.R.A-P.K. Pendekatan ini menggunakan kaedah bertanya dan buktikan melalui Al-Quran untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam dan menyampaikan dakwah kepada bukan Islam.

“Teknik A.S.A.R.A-P.K ini adalah cara yang efektif untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat non-Muslim. Kami juga menggalakkan penerapan 5S – Senyum, Sapa, Salam, Santun, dan Sopan semasa menyampaikan dakwah untuk memudahkan penerimaannya,” katanya.

Dr. Sakinah menyatakan sokongan terhadap kerjasama GDM dengan mengadakan aktiviti seperti forum kesedaran, pameran bahan dakwah, dan program memperkenalkan Nabi Muhammad S.A.W. Perbincangan berakhir dengan harapan untuk memperkuatkan dakwah Islam tidak hanya dalam kalangan pelajar Muslim tetapi juga non-Muslim. Dengan komitmen dan kerjasama dari semua pihak, diharapkan teknik A.S.A.R.A-P.K dapat membantu menyelaraskan dakwah kepada masyarakat majmuk.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *