KUNJUNGAN UKHWAH DAN INSPIRASI 2025 SM IMTIAZ ULUL ALBAB MELAKA

Oleh : Nurul Ain Omar

TANJONG MALIM, 15 Januari 2025 – Program Kunjungan Ukhwah dan Inspirasi 2025 yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan penuh semangat, membawa misi memperkukuh ukhuwah dan memberikan inspirasi kepada pelajar melalui pengalaman bermakna di luar bilik darjah.

Program sehari ini bermula pada jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang dan berjaya menghimpunkan 68 orang pelajar Tingkatan 2 bersama 8 guru pengiring. Mereka disambut mesra oleh 6 orang urus setia daripada Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA). Inisiatif ini menjadi platform terbaik untuk pelajar merasai suasana kehidupan kampus, berinteraksi dengan pensyarah serta mahasiswa UPSI, dan mendalami konsep kecemerlangan pendidikan berasaskan nilai Ulul Albab.

Pengarah PUA UPSI, Dr. Sakinah Salleh, dalam ucapan alu-aluannya, menekankan pentingnya program seperti ini untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan. Beliau turut menyeru para pelajar untuk mengenali potensi diri, menggilap bakat, dan membina identiti unggul sebagai generasi masa depan.

Perkongsian Struktur Dan Aktiviti Pembangunan Pelajar Ulul Albab

Sesi perkongsian dimulakan dengan penerangan oleh Dr. Tajul Rosli Shuib, Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab UPSI. Beliau mengupas bagaimana aktiviti pembangunan pelajar di UPSI dirangka untuk mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembentukan karakter. Fokus diberikan kepada pendekatan holistik dalam membina sahsiah, kepimpinan, dan nilai-nilai Ulul Albab.

Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Samsuddin Abd Hamid mengenai program Andalusian Scholars dan Andalusian Apprenticeship UPSI. Program ini dirangka untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mampu berdaya saing di peringkat global dengan menggabungkan nilai intelektual dan spiritual.

Slot terakhir, Taklimat Jom Masuk UPSI, dikendalikan oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UPSI. Taklimat ini membuka peluang kepada pelajar untuk memahami bidang pengajian yang ditawarkan di UPSI serta kelebihan yang bakal diperoleh. Pelajar turut diajak merancang masa depan berdasarkan minat dan bakat mereka, dengan harapan dapat mencorakkan perjalanan pendidikan tinggi yang cemerlang.

Program Kunjungan Ukhwah dan Inspirasi 2025 ini menjadi manifestasi usaha bersama dalam mendidik generasi muda untuk terus maju, memegang teguh nilai Ulul Albab, dan merealisasikan impian mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Program ini bukan sahaja memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar tetapi turut memperkukuhkan kerjasama erat antara UPSI dan SM Imtiaz Ulul Albab Melaka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *