
Oleh: Tajul Rosli Shuib
Lenggong, 27 April 2025– Seramai 34 orang mahasiswa Jawatankuasa KeSUA (MJKeSUA) telah menyertai Kursus Pengurusan Persatuan dan Program (KPP-Pro) yang berlangsung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 April lalu bertempat di USAS Resort, Lenggong, Perak. Program yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab (PUA) ini bertujuan memperkasa kemahiran pengurusan, organisasi dan kepimpinan dalam kalangan ahli jawatankuasa KeSUA selari dengan aspirasi Ulul Albab yang menekankan kepimpinan berteraskan ilmu dan nilai.


Pengisian kursus bermula pada malam pertama dengan slot “Pengurusan Kertas Kerja” yang disampaikan oleh Suhaida Mat Sukor. Slot ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas penyediaan kertas kerja yang lengkap dan berkualiti untuk pelaksanaan program-program pelajar. Pelajar turut diingatkan bahawa setiap program perlu mengikut prosedur dan perancangan yang betul demi membangunkan program yang memberi impak. Pelbagai persoalan turut berjaya dirungkai secara aktif melalui interaksi dalam sesi tersebut.
Hari kedua menyaksikan pelbagai pengisian intensif dan interaktif. Dr. Sakinah Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab, membuka sesi pagi dengan perkongsian bertajuk “Pengurusan dan Organisasi Pusat Ulul Albab”, manakala Puan Masturiana Basri pula menyampaikan slot “Pengurusan dan Implikasi Kewangan dalam Pembangunan Program” yang membuka minda peserta terhadap aspek perbelanjaan dan tadbir urus kewangan yang strategik, realistik dan berhemah. Urusan berkaitan persediaan dan pengurusan penajaan turut dikaitkan.
Dr. Tajul Rosli Shuib, Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab, turut mengendalikan slot “Pengurusan Mesyuarat Efektif dan Brainstorming” pada sebelah petang, yang dirangka bagi meningkatkan kecekapan dalam merancang dan menyelaras mesyuarat persatuan dan program. Slot Brainstorming ini turut diperkukuh dengan pembabitan aktif Yang Dipertua KeSUA, Saudara Afzan, dalam memfasilitasi sesi idea dan cadangan program masa depan.
Pada hari terakhir, Dr. Tajul Rosli Shuib menyampaikan slot bertajuk “Visibility & Productivity-KeSUA”, yang menekankan kepentingan keberadaan aktif dan sumbangan berkualiti oleh KeSUA dalam landskap pembangunan pelajar di UPSI. Program ini diakhiri dengan sesi pembentangan Resolusi KeSUA oleh YDP dan disusuli majlis penutupan rasmi yang disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab.
Tinjauan akhir mendapati keseluruhan peserta memberikan penilaian tahap kepuasan maksimum (skala 10) terhadap keberkesanan dan impak program. Peserta menyifatkan pendekatan dua hala yang diamalkan sepanjang kursus membolehkan mereka bertanya secara langsung dan memberi maklum balas secara terbuka, menjadikan pengalaman ini amat bermakna dan memberi motivasi baharu dalam menjalankan tanggungjawab mereka. KPP-Pro diharapkan akan menjadi program tahunan dalam memperkukuh barisan kepimpinan pelajar berteraskan model Ulul Albab; pemimpin berilmu, berakhlak dan berwawasan.