PUA ANJUR PROGRAM PENSIJILAN PROFESIONAL ULUL ALBAB TAHAP PERTENGAHAN SIRI KE-7

Oleh: Annisa & Nurul Adlina

Tanjong Malim, 20 April 2025- Usaha memperkasa generasi mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual dan spiritual diteruskan menerusi penganjuran Program Pensijilan Profesional Ulul Albab (Tahap Pertengahan) Siri Ke-7 anjuran Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula 18 hingga 20 April lalu, merupakan kesinambungan kepada pensijilan peringkat asas dengan penekanan lebih mendalam terhadap tiga elemen utama model Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI).

Seramai 20 peserta terpilih yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan ahli Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) UPSI menyertai program intensif ini yang disusun rapi dengan pelbagai slot menarik dan berimpak tinggi. Antara pengisian utama slot Quranik termasuklah ‘Qalbu Hati’ oleh Profesor Madya Dr. Nor Azah Abdul Aziz, pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) yang mengupas kepentingan hubungan hati dan akhlak manakala ‘Kompas Jiwa’ oleh Dr. Sakinah Salleh, pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang juga Pengarah PUA membimbing peserta mendalami al-Quran sebagai panduan kehidupan dan slot ‘Jiwa Kacau’ oleh Dr. Ahmad Amri Zainal Adnan, pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) yang mengetengahkan kekuatan zikir dalam mencapai ketenangan jiwa, disertakan sokongan bukti saintifik.

Sementara itu, slot Ensiklopedik turut memperkasakan kemahiran insaniah peserta melalui “Spice with Polite and Positive English (PPE)” oleh Mohd Zahren Zakaria, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi (FBK) yang menekankan kesantunan berbahasa Inggeris, slot  “Pitch & Sell Your Ideas” oleh Dr. Sayed Muhd Arif dan Dr. Amalina yang melatih teknik pembentangan berimpak dan slot “Pengurusan Masa” oleh Dr. Wan Nurul  Izza, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) bagaimana membentuk perancangan masa berkesan dan produktif.

Dalam aspek Ijtihadik, peserta diasah untuk berfikir luar kotak menerusi “1 Moment 1000 Mind” oleh PM. Dr. Nafizah (FSM) yang memperkenalkan konsep kreatif dan inovatif “It’s All on Me” oleh PM Dr. Nelfianty Mohd Rasyid dan Dr. Ruaibah Yazani Tengah, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) yang mengajar teknik berfikir inovatif dan “Let’s Duit Now” oleh Rasyidi Johan (META) dan Prof. Madya Dr. Nor Nafizah Mohd Noor, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) yang melatih peserta menggunakan alat dan kaedah kreatif dalam menyelesaikan masalah.

Menurut Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr Sakinah Salleh, ia bertujuan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mampu berfikir kreatif, kritis serta inovatif, berlandaskan nilai keilmuan dan kerohanian, tambahnya lagi  pendekatan holistik yang diambil dalam program ini mampu melahirkan mahasiswa Ulul Albab yang memiliki kecerdasan akal, keluhuran akhlak serta keteguhan jiwa, seiring keperluan pembangunan negara masa depan.

“Program ini membuktikan bahawa keseimbangan antara nilai keilmuan dan kerohanian adalah kunci melahirkan generasi berilmu, berakhlak, dan berdaya saing global,” katanya.

Program ini mendapat maklum balas positif daripada peserta yang rata-rata menyifatkan pengisian program bukan sahaja memperkasa ilmu, malah mencorakkan jati diri dan keperibadian mereka untuk menjadi insan Rabbani yang sejati.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *