TREASURE HUNT CALIPH: MENEROKA ALAM KEHIDUPAN DI UNIVERSITI

Oleh: Aiman Fahim dan Nuril Aqilah

Tanjong Malim– Program Treasure Hunt Caliph yang berlangsung pada 26 Disember 2024 telah mencuri perhatian ramai apabila ia dianjurkan dengan penuh keceriaan di Bitarasiswa, sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Acara ini dianjurkan oleh Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama erat Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI. Sebanyak 44 peserta dari Akademi Faris Mubeen, Putra Jaya berusia antara 7 hingga 15 tahun mengambil bahagian dalam program ini yang penuh dengan aktiviti mendidik dan menceriakan.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan peserta kepada suasana kampus UPSI serta mengeratkan ukhuwah sesama mereka. Aktiviti pertama bermula dengan lawatan ke Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) di mana para peserta berpeluang melihat pelbagai kemudahan moden yang tersedia di PTB. Mereka juga diperkenalkan kepada tokoh-tokoh pendidikan negara seperti Aminuddin Baki dan Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), sekali gus membuka minda mereka tentang sumbangan besar tokoh-tokoh ini terhadap pembangunan pendidikan di Malaysia.

Destinasi seterusnya adalah Muzium Nasional Pendidikan UPSI (MPN). Lawatan ini memberikan peluang kepada peserta untuk memahami dan mendalami sejarah pendidikan negara. Pengalaman ini menyemai rasa syukur dan kesedaran dalam diri peserta tentang usaha gigih yang diperlukan untuk mengekalkan kesinambungan pendidikan dari generasi ke generasi.

Setelah menghayati sejarah di muzium, peserta dibawa ke Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, untuk menunaikan solat Zohor. Seusai itu, slot khas ‘Bersama KeSUA’ mengambil tempat, menampilkan aktiviti explorace berasaskan elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensaiklopedik, dan Ijtihadik. Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih menarik, interaktif, dan bermakna. Aktiviti tersebut mengasah kemahiran pelbagai peserta, termasuk kebolehan berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah dengan bijak.

Penutup program menyaksikan lawatan ke Pusat Sukan UPSI. Peserta disambut mesra oleh Pegawai Belia & Sukan UPSI, Datin Wan Nur Hidayu yang memperkenalkan mereka kepada pelbagai kemudahan moden seperti pusat bowling, kolam renang, gimnasium, trek larian, dan padang bola sepak. Panorama indah Banjaran Titiwangsa yang menjadi latar belakang Pusat Sukan turut menambahkan keterujaan peserta.

Program Treasure Hunt Caliph ini bukan sahaja memberi pengalaman menyeronokkan kepada peserta tetapi juga membawa manfaat besar dari segi ilmu pengetahuan dan pembangunan sahsiah diri. Diharapkan pengalaman yang dikutip sepanjang program ini dapat diterapkan dalam kehidupan harian mereka serta dikongsi bersama rakan-rakan lain demi menyebarkan ilmu dan nilai murni yang diperoleh.

“Ilmu yang dikongsi, ukhuwah yang terjalin” – Moto yang menjadi nadi kejayaan Treasure Hunt Caliph 2024.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *