UPSI Perkasa Konsep Ulul Albab dan Sains Tauhidik Menerusi Ceramah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yusof Othman

Oleh: Nor Hayati Aziz

Tanjong Malim, 13 Ogos 2025 – Pendekatan integratif antara ilmu sains dan nilai ketuhanan menjadi teras utama dalam ceramah ilmiah bertajuk “Konsep Ulul Albab dan Sains Tauhidik” yang disampaikan oleh tokoh ilmuan tersohor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman.

Ceramah yang berlangsung di Scholar Suite, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 13 Ogos 2025 menghimpunkan 30 peserta, terdiri daripada jurulatih Pusat Ulul Albab (PUA) dan pensyarah UPSI, dengan matlamat memperkukuh kefahaman tentang integrasi ilmu aqli (rasional) dan naqli (wahyu) dalam sistem pendidikan kontemporari.

Dalam ceramahnya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof menjelaskan bahawa konsep Ulul Albab, sebagaimana digariskan dalam al-Quran, merujuk kepada golongan berilmu yang bukan sahaja cemerlang dalam pemikiran rasional, tetapi turut memiliki kedalaman spiritual dan kepekaan moral yang tinggi. Golongan ini harus sentiasa merenung ciptaan Tuhan termasuk melalui pendekatan saintifik sebagai jalan untuk mengenal dan mentauhidkan Allah SWT.

Beliau turut menegaskan bahawa Sains Tauhidik merupakan pendekatan epistemologi yang menolak pemisahan antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Sebaliknya, setiap cabang ilmu termasuk sains moden perlu dilihat sebagai wahana untuk mencapai pengesaan Allah, membentuk akhlak mulia, serta memakmurkan bumi dalam kerangka tanggungjawab khalifah.

“Ilmu yang terpisah daripada nilai ketuhanan akan kehilangan arah dan tujuan. Pendekatan Tauhidik memberi makna kepada sains sebagai alat untuk memakmurkan bumi dalam kerangka tanggungjawab khalifah,” tegas beliau.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, berkata penganjuran program ini merupakan usaha berterusan UPSI untuk memperkasakan pemahaman konsep Ulul Albab dalam kalangan tenaga pengajar.

“Kami percaya bahawa pembinaan generasi Ulul Albab perlu bermula dengan pencerahan kepada pendidik itu sendiri. Kefahaman mendalam tentang konsep ini akan memberi kesan langsung terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna dan bersifat rabbani,” ujarnya

Tambah beliau, ceramah ini diharap dapat merangsang diskusi intelektual dalam kalangan ahli akademik dan memperkukuh jati diri pendidik Muslim, khususnya dalam menghadapi cabaran era globalisasi ilmu.

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, pula menekankan bahawa falsafah Ulul Albab memerlukan penghayatan mendalam oleh pendidik agar dapat membentuk generasi cendekiawan berjiwa rabbani. “Kami akan terus memperluas penganjuran program seumpama ini melalui kolaborasi strategik pelbagai pihak,” ujarnya.

Program ini juga menjadi medan perbincangan kritis mengenai pengaplikasian konsep Ulul Albab dalam kurikulum dan pedagogi pendidikan Islam serta bidang STEM, sejajar dengan aspirasi negara membentuk modal insan holistik, seimbang dan harmonis sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.