UPSI PERKUKUH JATI DIRI ULUL ALBAB DAN WARISAN ISLAM NUSANTARA MELALUI MOBILITI KE SINGAPURA

Oleh: Muhammad Aidil Putra & Nor Hayati Aziz

SINGAPURA, 30 Julai 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan bertunjangkan ilmu dan nilai spiritual apabila seramai 24 mahasiswa, Pengarah dan Pegawai dari Pusat Ulul Albab serta Pustakawan UPSI menyertai Program Mobiliti Tidak Berkredit (Outbound Mobility) Peringkat Ketiga ke Singapura bermula 28 hingga 31 Julai 2025.

Program selama empat hari ini dirangka sebagai inisiatif strategik untuk memperluas horizon intelektual pelajar melalui pendedahan kepada kepelbagaian pendekatan pendidikan Islam, kekayaan budaya Melayu-Islam Nusantara, dan pembentukan jati diri Ulul Albab yang seimbang antara wahyu dan rasional.

Kunjungan akademik dimulakan dengan kunjungan ke Perpustakaan Negara Singapura, sebuah pusat ilmu serantau yang menjadi gedung khazanah ilmiah dan digital. Para peserta berpeluang menyelami peranan perpustakaan moden dalam mendokong pembelajaran sepanjang hayat serta penyelidikan rentas disiplin.

Seterusnya, kunjugan ke Masjid Sultan, ikon warisan Islam di Singapura yang berakar sejak abad ke-19, membuka lembaran sejarah komuniti Melayu-Islam di negara tersebut. Di sini, mahasiswa menelusuri fungsi masjid sebagai institusi rohani, sosial dan intelektual dalam membina tamadun.

Wakil PERGAS memberi taklimat kepada pegawai pengiring dan peserta berkenaan akdemik di Singapura

Keterisian ilmiah diteruskan dengan diskusi bersama Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), melibatkan topik berimpak tinggi seperti Sains dalam Perspektif al-Quran, Keseimbangan Wahyu dan Akal dalam Pembentukan Tamadun, serta Fardu Ain dan Nilai Ihsan dalam Arus Moden. Sesi ini bukan sahaja memperkaya wacana pelajar, malah mencetuskan perbandingan bernas terhadap pendekatan pendidikan Islam di dua negara serumpun.

Guru dan pegawai PERGAS mendengar taklimat dari Dr. Sakinah berkenaan pedagogi Ulul Albab
Peserta memberi perkongsian aktiviti/ program yang dijalankan oleh Pusat Ulul Albab

Tiga orang ahli Kelab Sahabat Ulul Albab tampil berkongsi pengetahuan berharga berkaitan QEI (Quranic, Esiklopedik dan Ijtihadik) yang telah mereka pelajari, melalui slot Weekly with Kesua yang diadakan secara berkala setiap minggu. Perkongsian ini bukan sahaja memperkaya ilmu dalam kalangan rakan-rakan di UPSI, malah menyemarakkan semangat menyebarkan nilai Ulul Albab secara menyeluruh.

Selain aspek akademik, peserta turut berkujung ke destinasi-destinasi strategik seperti Gardens by the Bay, Sentosa Island, dan Masjid Al-Falah, yang dipilih bagi menyulam hubungan antara sains, seni dan spiritualiti dalam konteks pendidikan Islam kontemporari.

Menurut penasihat program, Nor Hayati Aziz setiap lokasi dalam program ini dirancang dengan maksud dan nilai tersendiri.“Kita tidak mahu pelajar hanya melancong, tetapi menelusuri makna di sebalik setiap tempat yang diziarahi. Nilai keilmuan, kebudayaan dan ketamadunan yang mereka hadam akan membentuk mahasiswa Ulul Albab yang berfikir kritis, berakhlak tinggi dan berjiwa da’i,” ujar beliau.

Manakala Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh menegaskan bahawa program ini merupakan salah satu usaha signifikan ke arah pengukuhan visi dan misi Ulul Albab.“Matlamat utama program ini adalah untuk membina pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi turut memiliki kesedaran global, kefahaman budaya, dan kekuatan nilai diri sebagai agen perubahan masyarakat. Kita mahu mereka mengenal dunia luar dengan kaca mata Ulul Albab – melihat, mentafsir, dan bertindak dengan hikmah,” kata beliau.

Program turut diselitkan dengan sesi refleksi kendiri, bagi membantu peserta menterjemah pengalaman kepada kesedaran intelektual dan rohani yang lebih mendalam. Malah, kunjungan ini turut membuka lembaran kolaborasi akademik jangka panjang antara UPSI dan institusi-institusi tersohor di Singapura seperti PERGAS dan Perpustakaan Negara.

Program Mobiliti Ulul Albab ke Singapura menjadi platform berimpak tinggi dalam membentuk mahasiswa berdaya saing global, berpaksikan nilai-nilai Ulul Albab yang menggabungkan ilmu, iman dan amal.

Dengan langkah berani merentas sempadan ini, UPSI terus komited melahirkan generasi pendidik dan pemimpin ummah yang holistik serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan tamadun sejagat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *