‘WEEKLY WITH KESUA’ WADAH PENYATUPADUAN AHLI KELAB SAHABAT ULUL ALBAB

Oleh: Afiqah Ibrahim

Tanjong Malim– Majlis Jawatankuasa Kelab Sahabat Ulul Albab (MJKESUA) sesi 2024/2025 telah menganjurkan program Weekly with KeSUA (WWK) sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara ahli Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), terutamanya ahli Kohort 10 hingga Kohort 13. Program ini, yang diteruskan sejak beberapa tahun lalu menjadi medan mahasiswa UPSI mendalami elemen-elemen ulul albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik (Q, E, I).

Perjumpaan kali pertama: Selamat Datang Sahabat

Diadakan secara mingguan pada setiap malam selasa bermula Oktober hingga Disember 2024, program ini terdiri daripada lapan sesi yang dijalankan secara hibrid di Masjid al-Mursyidin dan secara atas talian. Menariknya, WWK juga terbuka kepada semua mahasiswa UPSI, termasuk bukan ahli KeSUA, bagi memperkukuh jaringan ukhuwah serta meningkatkan keahlian kelab.

Program ini menggunakan Kitab Bidayatul Hidayah sebagai rujukan utama. Pada semester ini, empat topik menarik dipilih sebagai fokus: adab bangun tidur, adab berwuduk, adab masuk tandas, dan adab memakai pakaian. Aktiviti seperti gallery walk, hafalan doa harian, sesi soal jawab, serta perbincangan kumpulan disusun rapi untuk menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menarik.

Menurut Pengarah Program, Nur AfiqahIbrahim, “Program WWK bukan sekadar mengeratkan hubungan ahli, tetapi juga memberikan manfaat besar melalui perkongsian ilmu setiap minggu. Program seperti ini harus dipergiatkan kerana ramai yang kini memandang ringan aspek adab dalam kehidupan seharian. Dengan menerapkan elemen ini, mahasiswa akan menjadi insan yang beradab dan berakhlak mulia, selaras dengan Aspirasi Naib Canselor UPSI 2024.”

Aktiviti Meriah dan Dinamik  dimulakan dengan sesi pertama bertemakan Selamat Datang Sahabat pada 29 Oktober 2024, yang memperkenalkan KeSUA kepada ahli baru. Perjumpaan pertama ini dijalankan secara atas talian melalui Google Meet dengan penyertaan lebih 500 orang. Ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Muhammad Nor Afzan Emran, Yang Dipertua KeSUA, Penasihat KeSUA, Nor Hayati Aziz serta Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab, Dr. Tajul Rosli Shuib.

Nor Hayati menyifatkan program ini sebagai medium untuk berkongsi ilmu dan memperkukuh ukhuwah. Beliau berharap semua peserta konsisten menghadiri perjumpaan mingguan dan mengambil peluang memperbaiki diri dalam aspek komunikasi, sosial, serta kepimpinan.

Dr.Tajul memberi perkongsian mengenai kitab Bidayatul Hidayah
Sesi soal jawab bersama peserta
Peserta WWK menyelesaikan tugasan explorace secara berkumpulan
Sesi perkongsian modul adab bangun tidur

Sesi kedua bertemakan Break the Ice menyaksikan aktiviti penerokaan yang melibatkan lapan kumpulan. Melalui kerjasama menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint, peserta dapat menjalin hubungan erat dan saling mengenali.

Manakala sesi ketiga menampilkan perkongsian bersama Dr. Tajul Rosli mengenai Kitab Bidayatul Hidayah, yang menjadi rujukan modul. Perjumpaan mingguan berikutnya menelusuri adab-adab harian bermula dari bangun tidur hingga kepada amalan seharian yang lain, diakhiri dengan sesi Smart Sharing secara atas talian, di mana peserta berkongsi ilmu yang diperoleh sepanjang WWK berlangsung.

Program WWK terbukti sebagai platform melahirkan mahasiswa yang seimbang dalam akhlak dan akademik melalui penerapan nilai Q, E, I. Harapannya, program seperti ini terus diperkasa agar adab dan akhlak menjadi tunjang kepada mahasiswa UPSI dalam merealisasikan hasrat Naib Canselor bagi melahirkan graduan berilmu, berdaya saing dan bermoral tinggi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *